Koscielny Dedah Punca Dia Tinggalkan Arsenal

LONDON: Laurent Koscielny berkata dia sudah membuat pertimbangan yang sebaik-baiknya mengenai keputusan meninggalkan Arsenal bulan lalu.

Sekali pun Gunners cuba untuk meyakinkan Koscielny untuk kekal bagi menghormati tahun terakhir dalam kontraknya di Emirates, pemain berusia 33 tahun itu membuat pilihan untuk pulang ke negara kelahirannya dengan melengkapkan perpindahan bernilai €5 juta (RM23.52 juta) ke Bordeaux.

Koscielny pada bulan lalu mencetus kontr0versi apabila dia enggan untuk menyertai pasukan dalam jelajah pra-musim di Amerika Syarikat dalam usahanya untuk dilepaskan Arsenal.

Tindakan itu dibalas kelab dari London itu yang berkata mereka akan membuka prosiding disiplin tetapi selepas perpindahannya dilengkapkan, pertahanan Perancis itu menggunakan media sosial bagi menjelaskan tindakannya.

“Seperti yang kamu tahu saya sudah berhubung dengan kelab itu (Bordeaux). Selepas sembilan tahun di Arsenal, saya membuat keputusan untuk berpindah,” kata Koscielny dalam Instagram.

“Saya menghabiskan tempoh yang menakjubkan bersama kelab ini, sembilan tahun yang menyaksikan saya belajar, meningkat dan membesar. Pengalaman ini menjadikan saya pemain seperti hari ini.

“Keputusan saya berpindah sudah dibincangkan selama beberapa bulan dengan kelab, rakan sepasukan saya, jurulatih dan ia adalah keputusan yang kami sudah fikirkan sebaik-baiknya.

“Saya melihat perpindahan ini sebagai satu titik perubahan dalam hidup saya bukan saja sebagai pemain, tetapi kehidupan sebagai lelaki dan insan yang berkeluarga.

“Tetapi, saya berharap kamu semua memahaminya, dan saya amat berterima kasih kepada Arsenal. Saya faham segala-galanya yang kelab dan peminat berikan kepada saya. Tetapi sudah tiba masanya saya pulang ke rumah dan keinginan saya adalah untuk menyertai Bordeaux.”

Koscielny menyertai Arsenal dari Lorient pada 2010 dan membuat 353 penampilan dalam semua kejohanan, memenangi Piala FA sebanyak tiga kali dan mara ke final Liga Europa bersama kelab berkenaan.

Sumber: Agensi via BH